Majlis Mahabbah Aidil Fitri 2014

Di Sini Lahirnya Sebuah Cinta…

IMG_2823
Sekitar suasana Majlis Mahabbah di Dewan Al Malik Faisal, Pusat Asasi UIA, PJ, yang cukup selesa dan luas

Alhamdulillah, pada 31 Ogos 2014 yang lalu, telah berlangsung majlis Mahabbah Aidil Fitri 2014 anjuran Yayasan PERAMAH. Majlis ini telah berlangsung dengan santai tetapi meriah di Dewan Al Malik Faisal, Pusat Asasi UIA, Petaling Jaya. Seramai lebih kurang 200 orang telah hadir memeriahkan lagi majlis ini yang terdiri daripada 65 orang bekas pelajar Maahad Muhammadi (L&P) dan juga ahli keluarga masing-masing.

Majlis tersebut telah bemula seawal jam 10.00 pagi disambut dengan kaunter pendaftaran di pintu masuk dan juga dengan celoteh mesra tuan pengerusi Majlis iaitu Ustaz Majid, bekas pelajar MML yang kini menjadi tenaga pengajar di Pusat Asasi UIA. Kehadiran pelbagai batch bekas pelajar MM telah memeriahkan lagi majlis ini.

DSCF0367
Wakil Muslim Care, En Halim (ditengah-tengah) bersama barisan Sukarelawan Program termasuklah Pengarah Program, Dr. Nik Mohd Zaim (dua dari kiri) dan Pengerusi YP, Prof. Dr. Ashraf (empat dari kiri)

Turut hadir pada majlis tersebut ialah En Halim, wakil Muslim Care untuk program taklimat Gaza dan penyerahan sumbangan untuk Gaza dan juga wakil AJK AMM untuk penyerahan sumbangan tanah wakaf untuk sekolah Maahad Muhammadi (L). Acara penyampaian duit zakat kepada  bekas-bekas pelajar MM yang sedang menyambung pengajian mereka di IPT juga turut diadakan. Seramai 25 orang bekas pelajar telah dipilih untuk menerima sumbangan kali ini. Acara penyerahan takaful khairat kematian untuk sahabat Peramah juga turut diadakan.

Mahabbah Aidilfitri ini adalah majlis tahunan yang telah di adakan sejak tahun 2012 dan majlis Mahabbah kali ini merupakan majlis yang ketiga dianjurkan.

Majlis ini juga turut dibantu oleh para sukarelawan bekas pelajar MM yang sedang belajar di Pusat Asasi, UIA. Kesudian mereka membantu pihak Sukarelawan  YP, banyak membantu melancarkan lagi majlis ini.

DSCF0406
Antara Sahabat-sahabat Peramah yang hadir bersama keluarga

Para tetamu telah dihidangkan dengan pelbagai juadah hasil dari sumbangan para sukarelawan dan juga dermawan di kalangan sahabat Peramah seperti Nasi Gulai Kawah, Sup Tulang istimewa, Laksa Kelantan, Tapai Beras Pulut, Pengat Pisang, Air Cendol, Kuey Teow goreng (dimasak panas-panas), Ketupat dan pelbagai lagi kuih-muih serta buah-buahan.

Bagi pihak Sukarelawan YP, kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua yang telah menjayakan dan menyokong majlis ini secara langsung atau tidak langsung. Terima kasih kepada semua yang telah hadir, para sukarelawan, wakil Muslim Care, wakil AJK AMM dan AMAL dan juga kepada para penyumbang.

Pihak urusetia juga memohon maaf jika ada sebarang kekurangan yang tidak disengajakan sepanjang majlis berlangsung. Mudah-mudahan kita semua dapat bertemu lagi di majlis-majlis akan datang. In Sya Allah.

DSCF0446
Antara Sukarelawan Majlis Mahabbah yang terlibat (tiada dalam gambar adalah Dr Siti Zubaidah Ismail dan Hassan Basri)
DSCF0402
Sebahagian pelajar Pusat Asasi UIA, iaitu bekas pelajar MMP yang menjadi Sukarelawan Majlis Mahabbah kali ini
Sebahagian pelajar Pusat Asasi, iaitu bekas pelajar MML yang turut menjadi Sukarelawan Majlis Mahabbah
Sebahagian pelajar Pusat Asasi, iaitu bekas pelajar MML yang turut menjadi Sukarelawan Majlis Mahabbah

Terima kasih,
Pihak Urusetia YP.

Nota: Gambar-gambar sekitar majlis boleh dilihat di ruangan Galeri 2014: https://yayasanperamah.org/?page_id=1777