اَلسَّلاَمُ عَلَيْكُمْ وَرَحْمَةُ اللهِ وَبَرَكَاتُهُ
Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasih
Bersempena dengan ketibaan 1 Syawal 1435 Hijrah kali ini, saya bagi pihak Yayasan Peramah ingin mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Fitri, Eid Said Eid Mubarak Kullu ‘Am wa Antum bi Khayr kepada semua bekas pelajar Maahad Muhammadi (L) dan (P) di sepanjang zaman.
Kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana masih memberikan peluang dan kesempatan kepada kita untuk sama-sama menyambut Aidil Fitri atau hari kemenangan bagi umat Islam yang sewajarnya diraikan dengan penuh perasaan keimanan, ketakwaan dan kesyukuran yang hakiki.
Pembinaan jati diri muslim muttaqi sepanjang Ramadan diharungi dengan penuh kesabaran dan kehambaan semata-mata untuk mendapat keredaan Allah SWT telah berjaya menjana ketaqwaan dalam mewujudkan hamba yang sentiasa patuh dan taat kepada segala perintah Allah seterusnya bulan Syawal yang mulia kita menyambut kemenangan kerana kembali kepada fitrah.
Saya menyeru diri saya dan sahabat sekalian, marilah kita sama-sama mempertingkatkan rasa kesyukuran, ketakwaan dan kehambaan kita terhadap Allah SWT dalam apa jua gerak kerja yang dilakukan.
Selamat menyambut Aidil Fitri bersama keluarga tercinta. Raikanlah Aidil Fitri dalam lingkungan syariah, saling bermaafan dan menziarahi bagi memupuk semangat ukhuwwah yang sejati, sambutlah dengan penuh kegembiraan dan kesyukuran.
Saya juga memohon agar kita tidak lupa memanjatkan doa dan harapan untuk saudara kita di Palestin, Syria, Iraq, Afghanistan, Rohinya, Somalia dan lain-lain yang terus ditindas dan dibelenggu dengan peperangan, penderitaan, dan cengkaman musuh Islam semoga Allah SWT sentiasa memberi bantuan dan kemenangan kepada mereka.
Akhir kata saya dan barisan SUP Yayasan Peramah menyusun sepuluh jari memohon ampun dan maaf atas apa jua salah dan silap selama ini. Salam Eid Mubarak, Kullu ‘Am wa Antum bi Khayr.
Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim
Pengarah Urusan Yayasan Peramah

