Perutusan Ramadhan 1435 Hijrah oleh Pengarah Urusan YP

yp-ramadhan2

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

Kepada semua Sukarelawan Peramah (SAP), Sahabat Peramah (SAP)dan bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki & Perempuan

Ramadhan, tetamu Allah yang hanya datang setahun sekali. Ramadhan kali ini sebenarnya berbeza dengan Ramadhan yang lalu kerana usia kita semakin bertambah dan kita semakin hampir dengan kematian. Sebab itulah kita perlu lebih merasai kehangatan Ramadhan kali ini dengan meningkatkan amalan dan kebaikan berbanding dari Ramadhan sebelumnya. Ambillah peluang Ramadhan yang tiba pada tahun ini, kerana kemungkinan kita tidak akan menemuinya pada tahun hadapan. Kita juga perlu bersyukur kerana Ramadhan adalah bulan yang menjanjikan hidayah dan ganjaran yang besar kepada sesiapa yang memburunya.

Justeru, marilah kita sama-sama mempersiap dan mempertingkatkan amal ibadat di dalam bulan Ramadhan kali ini semoga ia mampu melonjakkan diri menjadi hamba yang benar-benar bertakwa kepada Allah SWT.

Marilah juga kita membimbing seluruh ahli keluarga, mengajak mereka dengan kasih sayang, dengan penuh hikmah dan kefahaman supaya seluruh anggota keluarga berpeluang melakukan ibadah ini dengan sebaik-baiknya.

Ramadhan Karim Ramadhan Mubarak…

Ikhlas daripada
Hj. Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim
Pengarah Urusan
Yayasan Peramah
1 Ramadhan 1435 H