Sumbangan Zakat kepada Ibu Tunggal

Ziarah3Alhamdulillah, dengan izinNya, misi ziarah ke rumah ibu tunggal, Puan Jaharah Shafii (45 tahun) yang tinggal di Kg Bkt. Lanchung, Puchong telah dapat disempurnakan petang semalam, 25 Oktober 2013, oleh wakil sukarelawan Yayasan PERAMAH dan beberapa kakitangan pejabat yang berhampiran. Misi ziarah ini bertujuan untuk melawat beliau dan keluarga yang dimaklumkan memerlukan bantuan.

Beliau merupakan ibu tunggal, tinggal bersama empat orang anak, dua lelaki dan dua perempuan. Anak perempuannya yang sulung kini sedang mengambil Diploma Pengurusan Kolej Astin (USM) dan tiga anak-anaknya yang lain masih bersekolah (tingkatan 4, tingkatan 2 dan darjah 3).  Anak sulungnya baru berdaftar di kolej tersebut yang terletak di Puchong dan masih menunggu  bantuan dari PTPN.

Beliau telah ditinggalkan (kerana bercerai) oleh suami sejak 9 tahun lalu tanpa sebarang nafkah. Sehingga kini dengan tulang empat keratnya, beliau menyara kehidupan anak-anaknya dengan mengambil upah mengurut dari rumah ke rumah yang berdekatan serta apa-apa sahaja kerja yang termampu beliau lakukan termasuklah mengambil upah menjaga seorang bayi.

Beliau tidak dapat berkerja secara tetap kerana beliau perlu menjaga anak bongsunya yang berpenyakit asma dan dalam masa yang sama perlu menghantar dan mengambil anak-anaknya ke sekolah setiap hari, sambil membawa bayi yang dijaganya. Borang permohonan Zakat ke Pusat Zakat Selangor telah dihantar, namun masih belum mendapat sebarang maklum balas.

Atas misi “kebajikan cakna” sesama saudara seislam, Yayasan PERAMAH telah menyumbang wang Zakat sebanyak RM200.00 bersama sejumlah lagi sumbangan wang zakat serta barangan makanan yang telah dapat dikumpulkan daripada beberapa orang yang lain yang terlibat dalam misi ziarah ini. Dengan linangan airmata, beliau mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga atas keprihatinan Yayasan PERAMAH serta misi ziarah ini, yang dia tidak pernah kenali dan jangka sama sekali.

Ziarah

Kita doakan agar sumbangan yang diterima dapat meringankan sedikit bebanannya terutama untuk menanggung pengajian anaknya yang masih belum mendapat bantuan PTPN. Beliau sebenarnya bertuah kerana memiliki anak-anak yang baik dan pintar dan pandai berdikari membantu ibu mereka mencari mata pencarian sewaktu cuti sekolah/semester, seperti mengadakan kelas tuisyen dan sebagainya.

Moga Allah memberkati dan merahmati beliau sekeluarga serta diberi kekuatan dan kesihatan untuk meneruskan kehidupan. Jika ada sesiapa yang ingin menghulurkan bantuan, terutamanya untuk membantu anaknya menyambung pelajaran di kolej tersebut, boleh hubungi beliau di talian: 013-335 9470. Beliau juga boleh dihubungi untuk perkhidmatan “massage” dan “facial”, bagi kawasan berhampiran rumahnya, yang secara tak langsung dapatlah membantu menambah punca pendapatannya seharian.

 

Laporan,
Urusetia YP