Di Mana DIA Di Hatiku…

cropped-masjid-al-nabawi-2.jpg

”Allah itu amat hampir, tapi kenapa aku masih meminggir? Akalku alpa berfikir, hatiku lupa berzikir…” madah berbisa dari penulis buku Di Mana Dia Di Hatiku, Ustaz Pahrol Mohd Juoi, ternyata menyuntik kalbu ini… betapa diri disibukkan dengan hal duniawi, sedangkan hal ukhrawi semakin terpinggir…

Tersuntik jiwa bila habis membaca buku muhasabah diri ini, bahasa bermadah yang digunakan, disulami sajak keinsafan, membawa diri untuk bermonolog sendirian dengan Pencipta….pelbagai perkara dikupas dan dibicarakan, dari soal hati, cinta, kasih sayang, tanggung jawab dalam perkahwinan, kasih ibu bapa dan pelbagai aspek kehidupan duniawi yang mengajak kita akhirnya kembali kepada pengabdian kita kepada Khaliq….dengan lontaran pertanyaan Di Mana Dia Di Hatiku?

Ya, di mana letaknya Allah di hati kita selama ini? Adakah hanya semasa kita dilanda musibah, ditimpa ujian, di saat kehilangan orang tersayang, atau hanya di saat kita terlantar kesakitan, atau saat kita hampir nazak semata?

Di mana DIA, saat kita gembira, saat kita mengecapi nikmat kemewahan harta benda, saat kita dilimpahi cinta pasangan hidup kita atau di kelilingi riang-ria anak-anak kita, atau saat bisnes sedang maju di mercu kejayaan, atau saat kita diberi nikmat sihat dan sempurna akal fikiran?

Ingatlah DIA setiap ketika, segalanya milik DIA. Apa yg dikurniakan kepada kita sama ada harta benda yang melimpah ruah, pasangan hidup yg tampan/jelita, cahaya mata yang sihat dan comel, hanyalah bersifat sementara, bahkan menjadi  amanah yang amat besar bagi kita, yang bakal disoal siasat di akhirat kelak.

Janganlah kita menjadi jutawan di dunia, namun bakal diisytihar bankrap di akhirat kelak kerana tiada amalan soleh yang di bawa, tiada amal jariah yang ditinggalkan semasa hidup di dunia, tiada pahala yang dikumpulkan, sebaliknya timbangan dosa yang menggunung…nauzubillah!

Betapa ramai antara kita yang berbuat dosa namun tidak sempat bertaubat atau taubatnya tidak diterima Allah, betapa ramai juga yang berbuat amal soleh, tetapi ditolak kerana sifat ikhlas yang terhakis, betapa ramai juga yang zahirnya soleh, namun batinnya penuh dengan sifat-sifat munafiq!  Maka, di manakah kita di sisi Allah?

Amat beruntung siapa yang  sentiasa fikir dalam zikir, hati yang gementar kerana takutkan Allah dan hati yang tenang kerana sentiasa mengingati Allah!

Catatan,
Hamba Allah
Sahabat PERAMAH