Tazkirah Ramadhan

Lima bentuk pengampunan dosa pada bulan Ramadhan daripada Hadis

Bulan Ramadhan adalah sebaik-baik bulan yang pernah dicipta oleh Allah sehingga di dalamnya terdapat sekian ribu malah jutaan kelebihan yang tidak akan kita dapati pada masa dan bulan-bulan yang lainnya.

Antaranya termasuklah tawaran pengampunan dosa yang Allah janjikan melalui jaminan hadis daripada rasul-Nya Muhammad SAW.

Mari kita perhatikan hadis-hadis ini satu persatu agar kita tidak terlepas peluang untuk mengamalkannya.

1. Melakukan puasa di bulan ini. Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa berpuasa Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

2. Melakukan solat tarawih dan tahajud di dalamnya.Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang mendirikan (sebahagian terjemahan menyebutkan qiamullail) Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala Allah, niscaya diampuni dosanya yang telah lalu.” (Hadis Muttafaq ‘Alaih)

3. Melakukan solat dan ibadah lain di malam Lailatul Qadar. Iaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan. Ia adalah malam yang penuh barakah, yang di dalamnya diturunkan al-Qur’anul Karim. Dan pada malam itu pula dijelaskan segala urusan yang penuh hikmah.Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa melakukan solat pada malam Lailatul Qadar kerana iman dan mengharap pahala Allah, nescaya ia diampuni dosanya yang telah lalu. (Hadits Muttafaq ‘Alaih)

4. Memberi iftar (makanan untuk berbuka) kepada orang yang berpuasa.Rasulullah SAW bersabda: “Sesiapa yang di dalamnya (bulan Ramadhan) memberi iftar kepada orang berpuasa, nescaya hal itu menjadi sebab) ampunan dari dosa-dosanya, dan pembebasan dirinya dari api Neraka.” (HR. Ibn Khuzaimah (dan ia menshahihkan hadis ini), al-Baihaqi dan lainnya).

5. Beristighfar. Meminta ampunan serta berdoa ketika dalam keadaan puasa, berbuka dan ketika makan sahur.

Dan dalam sebuah hadis disebutkan: “Ada tiga macam orang yang tidak ditolak doanya. Di antaranya disebutkan, orang yang berpuasa hingga ia berbuka” (HR. Ahmad, At-Tirmidzi, An-Nasaa’i dan Ibnu Majah). (Ibn Khuzaimah dan Ibn Hibban dalam kitab Shahih mereka masing-masing, dan At-Tirmidzi mengatakannya hadis sahih hasan.)

Setiap saat Ramadhan adalah sebaik-baik saat yang pernah wujud. Janganlah kita menjadi manusia yang rugi dan celaka seperti yang Rasulullah SAW pernah aminkan ketika baginda mendengar Malaikat Jibril menyebutkan, “Celakalah umatmu Muhammad apabila masuk dirinya di bulan Ramadhan dalam keadaan tidak baik dan keluar dirinya dari bulan Ramadhan juga dalam keadaan tidak baik.”