Pada 20 April 2013, 7 orang Sukarelawan Yayasan PERAMAH di bawah inisiatif Lajnah Kebajikan dan Komuniti, telah mengikuti aktiviti rutin Yayasan Salam di sekitar Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur. Program yang berbentuk “down to earth”, kaunseling ringkas dan pengagihan makanan kepada golongan minoriti di sekitar Lorong Hj Taib bertujuan untuk membantu meringankan tekanan hidup golongan yang tidak bernasib baik ini. Mereka yang kebanyakannya terdiri daripada golongan gelandangan, pekerja sex dan penagih dadah cukup gembira dengan bantuan yang diberikan walaupun perasaan malu masih wujud dari raup wajah mereka.
Program tersebut cukup bermakna kerana selain daripada memberi makanan kepada mereka, kami berpeluang mengenali kehidupan mereka dengan lebih dekat lagi. Terdapat seorang gadis dari Ketereh, Kelantan yang baru berpisah dengan teman lelakinya dan beliau begitu kebingungan kerana tidak tahu arah tujuan hidupnya. Sukarelawan Yayasan Salam telah membawa beliau untuk ditempatkan sementara di asrama mereka sementara menunggu bantuan yang sewajarnya untuk gadis tersebut.
Program ringkas ini cukup memberi makna kepada kami dan in sya Allah kita akan cuba untuk terus berkerjasama dengan Yayasan Salam di dalam program-program kebajikan sebegini pada masa-masa akan datang. Ini kerana selain daripada dapat membantu masyarakat yang memerlukan, program sebegini cukup berperanan dalam mendidik diri kita serta dapat memberi kesedaran kepada kita untuk bersyukur dengan nikmat kehidupan yang begitu besar yang Allah SWT telah berikan kepada kita dan ahli keluarga kita.


