Laporan Bengkel Pemantapan Redaksi

REDAKSI5

Atas usaha dan inisiatif Sukarelawan PERAMAH untuk mengisi dan menjalankan aktiviti “Ilmu Ditimba” PERAMAH, Bengkel Pemantapan Redaksi PERAMAH telah diadakan pada 10 Mac 2013, baru-baru ini. Bengkel ini merupakan langkah pertama PERAMAH untuk memperkukuh dan mempersiapkan Sukarelawan Redaksi dengan kemahiran fotografi, kemahiran mengendalikan blog dan teknik penulisan blog. Bengkel ini telah dilaksanakan di Itqan Training Centre, Putra Heights dari jam 9.00 pagi hingga 2 petang yang dibuat secara percuma, khusus untuk Sahabat dan Sukarelawan PERAMAH.

Bengkel ini dihadiri oleh 13 orang peserta termasuk peserta lelaki dan wanita dan terdapat 3 modul utama telah dibentangkan. Antara modul modul yang disampaikan ialah:

  • Modul 1 iaitu Teknik dan Kaedah Fotografi telah disampaikan oleh En Abdul Aziz Mohamed
  • Modul 2 ialah Teknik Penulisan Blog oleh Puan Sakinah Salleh
  • Modul 3 Teknik Membina dan Mewujudkan Blog oleh Puan Ramlah Hamad.
redaksi6

Bengkel ini berlangsung keseluruhannya selama 5 jam dan dilaksanakan dalam keadaan santai dan penuh ceria. Para peserta berbincang, bertanya soalan dan mendalami setiap kaedah dan teknik yang dipaparkan oleh penceramah. Diakhir setiap modul, kaedah dan teknik secara ‘hands-on’ turut dipraktiskan terutamanya berkaitan dengan teknik fotografi (gambar gambar seperti dilampiran) yang mengguna pakai teknik teknik fotografi yang diamalkan oleh para jurugambar professional seperti “rule of thirds”, “portraits”, “leading line”, “framing” dan juga “simplicity”.  Malah teknik menggunakan kamera DSLR serta kamera kompak juga telah diajar dalam bengkel ini.

Dalam aspek pembinaan dan teknik membina blog, mengawal serta memasarkan blog serta teknik penulisan turut didedahkan kepada para peserta. Para peserta diberi pendedahan dengan aspek mengambil gambar, menulis laporan dan berita serta teknik untuk memuatkan kandungan ke dalam blog sendiri mahupun blog PERAMAH serta membina ‘links’ samada dari blog sendiri ke blog Peramah atau sebaliknya. Dengan cara ini, blog sendiri dan Yayasan Peramah akan sentiasa padat dan penuh dengan aktiviti serta ‘update’. Ini membolehkan penyampaian berita bergambar dapat dilakukan secara berkumpulan lantas membolehkan berita disampaikan dengan lebih cekap dan pantas.

Para peserta yang terdiri dari berbagai lapisan generasi lepasan Maahad Muhammadi (L&P) juga telah berkesempatan berkenalan antara satu sama lain dan ini secara langsung telah mengeratkan ukhuwah sesama mereka. Para peserta juga telah dijamu dengan jamuan ringkas yang disediakan oleh Restoran Maidah Cuisine yang terletak di bangunan yang sama dengan bilik latihan.

Sebelum bersurai, semua para peserta menikmati hidangan tengahari di Maidah Cuisine. Pihak PERAMAH mengucapkan terima kasih kepada Tuan Hj Ab Hakimee Abdullah kerana sudi belanja makan tengahari. Semoga aktiviti kemahiran sebigini dapat dijalankan lagi pada masa hadapan.

Dilaporkan oleh,
Puan Sakinah Salleh