Laporan Pertandingan Boling Tautan Ukhuwah PERAMAH 2013

Pada 24hb Feb 2013 yang lalu, telah berlangsung satu lagi aktiviti ukhuwah anjuran PERAMAH iaitu Pertandingan Boling Tautan Ukhuwah antara batch SPM Sahabat PERAMAH. Aktiviti kesukanan sebegini adalah kali pertama dianjurkan oleh pihak PERAMAH. Objektif utama adalah untuk:

  • 1) Merapatkan hubungan silaturrahim antara bekas pelajar Maahad Muhammadi Kota Bharu.
  • 2) Mengenali lebih dekat sesama batch Sahabat PERAMAH
  • 3) Merapatkan ukhuwah dengan pasangan Sahabat PERAMAH
  • 4) Memupuk semangat riadah secara harmoni dan islamik dalam kalangan sahabat PERAMAH dengan batasan–batasan yang dibenarkan.
  • 5) Mengekalkan tahap kesihatan dengan cara yang betul.

Kali ini beberapa batch baru telah hadir memberi sokongan dan telah menyertai pertandingan seperti batch 1991 dan 1996, berbanding aktiviti-aktiviti ukhuwah yang dianjurkan sebelum ini, yang selalunya dipelopori oleh batch 1985 dan 1989. Majlis kali ini juga turut diserikan lagi dengan kesudian Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim hadir  memberi sokongan padu kepada para peserta.

Acara yang berlangsung di Wangsa Bowl, Selayang Mall, begitu meriah dengan kehadiran lebih kurang tujuh puluh orang Sahabat PERAMAH termasuk pasangan dan anak-anak. Apa yang menarik, pasangan Sahabat PERAMAH juga telah sudi menyertai pertandingan ini dan mereka mewakili batch pasangan masing-masing.

Seramai 48 orang telah menyertai pertandingan ini, dan mereka telah dibahagikan kepada 12 belas kumpulan iaitu 9 kumpulan lelaki dan 3 kumpulan wanita. Setiap kumpulan terdiri daripada 4 orang peserta yang digandingkan dengan pasangan Sahabat PERAMAH. Acara ini telah bermula pada jam 3.00 petang. Sepanjang acara berlangsung, kemeriahan mula terasa dengan pelbagai aksi dan gelagat lucu para peserta terutama bila bola banyak yang menghala ke longkang. Tambahan pula ada antara peserta yang baru pertama kali bermain boling.

Setelah tamat 3 frames permainan, maka acara yang dinantikan tiba jua iaitu acara penyampaian hadiah kepada pemenang. Akhirnya peserta dari batch 1991 telah dinobatkan sebagai juara kumpulan lelaki dan batch 1996 pula adalah juara bagi kumpulan perempuan. Manakala permain terbaik lelaki adalah daripada batch 1989 dan permain terbaik perempuan pula daripada batch 1996.

Para hadirin sempat bergambar kenangan sebelum majlis berakhir pada jam 6.00 petang. Pihak urusetia PERAMAH mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua Sukarelawan dan Sahabat PERAMAH yang telah menjayakan aktiviti ini, serta kepada penaja makanan dan minuman sepanjang acara berlangsung. Semoga acara sebegini bakal dianjurkan lagi pada masa-masa hadapan dengan penampilan lebih ramai lagi batch-batch baru.

Laporan,
Redaksi Sukarelawan PERAMAH