
PERAMAH adalah nama singkatan untuk Perantau Maahad Muhammadi iaitu gabungan lepasan pelajar Maahad Muhammadi Lelaki (MML, Pengkalan Chepa) dan Maahad Muhammadi Perempuan (MMP, Jln Merbau) yang telah merantau keluar dari alam persekolahan mereka di Kota Bharu, Kelantan dan telah menetap di pelbagai tempat di luar Kelantan.
Mereka telah bergabung di bawah satu Yayasan Peramah (YP), tanpa mengira batasan umur, tempat dan latar belakang.
Yayasan Peramah (YP) telah didaftarkan secara rasminya pada tahun 2013 (Sila Rujuk Sejarah Penubuhan). Setelah beberapa tahun berlalu, kini YP dipimpin oleh Dr Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim, selaku Pengarah Urusan yang baru, dibantu oleh barisan pemegang amanah dan juga para Sukarelawan.
Antara objektif utama YP adalah untuk merapatkan ukhuwah fillah sesama lepasan pelajar MMP dan MML melalui aktiviti ukhuwah dan juga menggerakkan misi kebajikan kepada mereka yang memerlukan melalui misi-misi sumbangan yang dijalankan secara berkala sepanjang tahun.
Antara aktiviti anjuran YP adalah aktiviti ukhuwah seperti majlis tahunan jalinan aidilfitri, aktiviti ilmu dan aktiviti kebajikan pula melalui sumbangan kepada bekas guru MMP dan MML, dan juga sahabat PERAMAH yang memerlukan.
Setiap tahun YP telah menganjurkan misi sumbangan Ramadhan dan misi ziarah Mahabbah ke kawasan yang terplih di sekitar Lembah Klang dan juga beberapa tempat di Kelantan oleh wakil sahabat sukarelawan PERAMAH di sana. YP juga aktif menyalurkan sumbangan kepada mangsa bencana alam di Lombok dan juga di Palu, Sulawesi.
Pada tahun 2020 ini, dengan ancaman COVID-19 yang belum berakhir, YP telah meluaskan lagi aktiviti kebajikan merentasi sempadan negara iaitu misi bantuan kebajikan kepada umat Islam di GAZA, hasil daripada sumbangan terkumpul masyarakat awam. Alhamdulillah. Moga Allah rahmati segala usaha bersama. Ameen.