Sekitar Majlis Ukhuwah Perantau Maahad Muhammadi @ 16hb Sept 2012…

Mukaddimah

Takbir berkemundang sayu ditelinga, tanda Syawal menjelang tiba. 

Kenangan di Maahad Muhammadi menggamit jiwa tiap warganya.

Lalu janji ditagih untuk bertemu biarpun hanya untuk seketika.

Semua warga sebulat suara untuk bersua mata setelah lama tidak berjumpa.

Tarikh keramat 16hb September 2012 telah dipersetujui bersama.

Casa Ukhwah sebagai perantara, membawa diri dan keluarga bersama juadah hari raya.

Moga rindu ini bakal mempertaut semula silaturrahim yang sedia ada…

 

Perancangan dan Persiapan

Perancangan untuk majlis “Ukhuwah Perantau Maahad Muhammadi sempena Aidilfitri di Kuala Lumpur” hanya bermula pada minggu pertama bulan September 2012, iaitu dua minggu sebelum majlis berlangsung. Namun dengan semangat jitu dan perasaan ingin merapatkan ukhuwwah sesama bekas pelajar Maahad Muhammadi di rantauan ini, maka perbincangan demi perbincangan terus dilakukan di alam maya (facebook). Beberapa orang petugas sukarela telah dilantik dan dari situ bermulalah satu episod baru untuk warga Maahad Muhammadi di rantauan ini.

Hari ini, sudah seminggu lebih majlis ini berlalu. Namun tarikh keramat 16hb September 2012, pada hari Ahad yang lalu, tetap terpahat dalam ingatan semua warga bekas pelajar Maahad Muhammadi yang menghadiri majlis anjuran bekas pelajar Maahad Muhammadi di Kuala Lumpur ini. Majlis santai ini yang bertempat di No 16, Banglo Casa Ukhuwah, Kiara View ini begitu meriah dengan kehadiran seramai 60 orang bekas pelajar Maahad Muhammadi Lelaki dan Perempuan bersama anak isteri masing-masing, menjadikan jumlah kehadiran semuanya adalah seramai 204 orang termasuk kanak-kanak.

Beberapa orang tenaga kerja sukarela bekas pelajar (atau jong kako) dan keluarga telah berada di Casa Ukhwah seawal 8.00 pagi untuk memastikan majlis berjalan dengan lancar dan sempurna.

Khemah dipasang dan diurus sepenuhnya oleh Hj Ab Hakimee (SPM 1989) bersama pembantu-pembantunya. Sistem pembesar suara juga begitu lengkap dibawa, dipasang dan diselanggara dengan cukup sempurna oleh Mejar Abdul Wahab Abdullah (SPM 1985) yang rupanya begitu pakar dengan peralatan ini.

Kain rentang (banner) terpampang indah di pintu hadapan Casa Ukhwah, hasil sumbangan Edrus Abdul Rahman (SPM 1989) dan direkacipta oleh adiknya Fadzly Abdul Rahman (SPM 2004), telah dijadikan latar belakang untuk para tetamu bergambar semasa sesi fotografi bersama keluarga dan rakan-rakan.

Berkonsepkan jamuan secara “potluck” terancang, kelihatan pelbagai juadah yang begitu menyelerakan mula memenuhi meja hidangan, seperti nasi kerabu, nasi dagang, nasi himpit, sate, tapai ubi getah, kek, puding dan bermacam-macam lagi, yang telah mula dihidangkan seawal 11.00 pagi.

Kunjungan Ukhuwwah Perantau…

Maka, sejak jam 11 pagi, Casa Ukhuwah tidak putus-putus menerima kehadiran wajah-wajah ceria sahabat handai yang datang silih berganti. Pelbagai perasaan bercampur baur ketika itu…gembira, terharu, lucu dan macam-macam lagi… gembira dengan sambutan yg cukup meriah, terharu menyaksikan pertemuan semula sahabat-sahabat lama yang ada di antaranya telah terpisah semenjak 30 tahun yang lalu serta lucu dengan pelbagai penampilan yang jauh berbeza dari apa yg pernah dilihat semasa di bangku sekolah dulu…

Para tetamu telah disambut dengan senyuman mesra oleh barisan penyambut tetamu yang terdiri daripada Dr. Siti Zubaidah (SPM1985) dan suaminya Dr. Zahiri (SPM1985) serta Puan Zurina Alias (SPM1985) sebelum dibawa ke meja pendaftaran yang dikendalikan sepenuhnya oleh Puan Ramlah Hamad (SPM1989) dan Yusran Omar (SPM1989) sambil mengagihkan beg-beg “goodies” sumbangan AnsarComp Sdn. Bhd. dan Jatimas Sd.n Bhd.

Majlis telah diserikan lagi dengan irama lagu-lagu aidilfitri, yang diselangi dengan celoteh dua orang pengacara khas iaitu Mejar Abdul Wahab Abdullah (SPM1985) dan Dr. Sakinah Salleh (SPM1989),  yang begitu bersemangat menyambut para hadirin. Beberapa rangkap pantun yang disampaikan oleh pengacara dan beberapa orang hadirin, turut menyerikan lagi majlis ini.

Di celah-celah para tetamu yang sedang asyik memilih juadah, ramai yang terharu melihat selebriti lepasan MMP, Dr. Sham Rahayu (SPM1985) bersama-sama dengan Puan Noor Zahrawany (SPM1989), Puan Noryani (SPM1985) serta Hj Edrus Abdul Rahman yang bertungkus lumus menyusun juadah yang dibawa oleh para tetamu dan memastikan pinggan-mangkuk dan juadah sentiasa mencukupi.

 

Sepanjang Majlis Berlangsung….

Acara kemuncak majlis adalah sesi perbualan secara lintas langsung melalui telefon bimbit bersama Ustazah Mariam serta beberapa rakan seperjuaagan di Kota Bharu, seperti Saudara Nazmi Azmi dan Puan Hasniyati Abdullah, sempena majlis Syawal yang berlangsung di rumah YB Mumtaz Md Nawi.

Seterusnya juruacara telah menjemput hadirin untuk sesi suai kenal dan sesi ini juga begitu ceria dengan senda gurau dari para hadirin.

Sepasang pengantin baru turut dirai dalam majlis tersebut iaitu Akhi Zul Hakimi (SPM2005) yg telah bertemu jodoh dengan rakan “batch” yang sama  lepasan MMP. Pasangan pengantin baru kelihatan tidak berenggang dari pasangannya meskipun diusik oleh rakan2 seangkatan dan abang-abang senior. Deejay turut memutarkan sebuah lagu khas yang ditujukan kepada pasangan yg masih malu-malu itu…. pastinya mereka tidak menyangka perhatian dan semangat ukhuwah yang ditunjukkan oleh abang/kakak senior di majlis itu. Mereka merasakan majlis di Casa Ukhuwah itu seolah majlis walimah kedua utk mereka.

Kelihatan jurugambar professional, Abdul Aziz Mohamed (SPM1989), begitu sibuk mengambil gambar para hadirin bersama keluarga dan sahabat-handai. Penatnya tidak terasa, kerana saat-saat pertemuan sebegini adalah saat-saat indah yang pastinya mesti dirakamkan sebaik mungkin di lensa kamera sebagai kenangan terindah untuk setiap hadirin.

Casa Ukhwah telah menyediakan tempat yang selesa untuk para ibu berserta anak-anak kecil, kerana ada ruang yang luas di dalam rumah banglo dua tingkat ini. Kemudahan kolam renang, meja “pool” serta bilik gimnastik menjadi ruang untuk anak-anak menghabiskan masa mereka, tanpa mempedulikan ibu bapa mereka yang sedang asyik bercerita dan menemubual rakan-rakan seperjuangan atau kenalan baru dikalangan “batch” yang berbeza.

Meskipun acara berlangsung di kota metropolitan, namun semua tetamu merasakan seolah-olah berada di kelantan apabila Hj. Abd. Hakimee (SPM 1989) telah mengambil inisiatif menaja keseluruhan minuman pada hari tersebut yang disediakan oleh pembekal air cendol pulut yang termasyhur di belakang Stadium Sultan Muhammad Ke 4. Rata-rata tetamu kelihatan berborak panjang sambil tangan masing-masing memegang mangkuk cendol yang lazat. Selain itu, anak-anak berulangkali ke gerai minuman untuk menikmati aiskrim yg turut dibekalkan oleh AZMN Cendol Pulut Kelate.

Akhir kalam…

Ternyata juadah begitu menyelerakan, namun rupanya masa untuk berbual-bual bersama hadirin lebih diutamakan daripada menjamu selera. Perut terasa kenyang dengan pertemuan sahabat lama serta ukhuwwah yang terjalin mesra.

Sesungguhnya pertemuan bekas pelajar dari pelbagai “batch” setelah belasan atau puluhan tahun terpisah ini, menjadi satu memori indah yang sukar diucapkan kata-kata. Ternyata ukhuwah sesama abang/kakak/sahabat begitu erat, ditambah lagi dengan perkenalan dengan pasangan hidup masing-masing, menjadikan suasana perjumpaan ini begitu bermakna. Dan majlis yg berlangsung sehingga jam 5 petang itu terasa amat pantas, sepantas berlalunya memori-memori indah semasa di alam persekolahan dahulu…

Jutaan penghargaan kepada semua yang sudi hadir ke majlis ini. Tidak lupa juga kepada yang tidak dapat hadir kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan, namun telah memberi respon positif mereka dengan penganjuran majlis sebegini. Kehadiran warga Maahad Muhammadi yang jauh dari Kelantan seperti Ustaz Wan Ahmad Tarmizi dan Sdr. Mudzafar, Timbalan Bendahari AMM juga amatlah dihargai. Ini adalah tanda jalinan ukhuwah sentiasa bersemi di hati.

Masa berlalu begitu pantas

Banyak agenda belum di bahas

Namun pertemuan bertemu noktah

satu lagi sejarah terpahat sudah

 Banyak kenangan sudah tercipta

Harapan agar semua gembira

Tersalah kata tersilap bicara

Mohon maaf sekiranya ada

Lain masa kita bersua

Moga semua warga kan dapat bersama

Perantau Maahad Muhammadi tertera namanya

Mencipta kejayaan dipersada dunia

Silaturrahim yang telah dibina

Moga terpaut ukhuwah dan ikatan saudara…

Salam Ukhuwwah,

Admin, PERAMAH