KUNJUNGAN KE RUMAH SINAR SALAM, YAYASAN SALAM MALAYSIA

SALAMSabtu, 13 April 2013 merupakan hari yang bermakna kepada Yayasan PERAMAH, kerana pada hari tersebut bermulanya hubungan antara Yayasan PERAMAH dengan Yayasan SALAM Malaysia. Yayasan SALAM ialah sebuah organisasi bebas dan bukan berorientasikan keuntungan yang ditubuhkan untuk menggalakkan semangat kesukarelaan dan memberikan peluang kepada warga Malaysia untuk melibatkan diri sebagai sukarelawan sama ada di dalam dan luar negara. Ia menganjurkan  program kesukarelawanan dalam pelbagai bentuk dengan memberikan tumpuan khusus dalam bidang pendidikan, kesihatan dan pembangunan komuniti.

Pada hari tersebut, wakil Yayasan PERAMAH telah mengunjungi Pegawai dan Sukarelawan Yayasan SALAM di Rumah Sinar Salam,  Lorong Haji Taib 3, Kuala Lumpur. Yayasan SALAM diwakili oleh pegawainya, Cik Zakiah dan tiga orang sukarelawan sepenuh masa iaitu: Abg. J, Cik Farah dan Cik Husna. Yayasan PERAMAH pula diwakili oleh Tuan Mejar Mohd. Abdul Wahab Abdullah, Sdr. Abdul Aziz Mohamad, Sdr. Hasanul Basri Abdullah  dan Puan Mazlina Md. Ab. Malik. Pertemuan yang bermula pada pukul 2.30 petang itu berakhir pada pukul 5.00 petang.

Kunjungan tersebut adalah bertujuan mengenali Yayasan SALAM dengan lebih dekat di samping memperkenalkan Yayasan PERAMAH sebagai sebuah yayasan yang baharu ditubuhkan. Kedua-dua pihak telah mengadakan perbincangan yang menjurus kepada bentuk kerjasama khususnya dari aspek pengisian ilmu agama. Hasil daripada perbincangan tersebut, Yayasan PERAMAH telah mengenal pasti  beberapa peluang dan ruang untuk bekerjasama dan membantu Yayasan Salam. Antaranya, termasuklah memberikan sumbangan berbentuk bimbingan agama kepada golongan yang terbabit bertujuan menyelamatkan aqidah dan memantapkan iman mereka. Sumbangan ini amat diperlukan oleh Yayasan SALAM untuk kerja-kerja kesukarelaan yang berpusat di sekitar Lorong Haji Taib, Kuala Lumpur.

Melalui Rumah Sinar Salam dan Cure & Care Service Centre (Pusat Khidmat Pulih dan Prihatin) yang berpusat di Lorong Haji Taib 3, Kuala Lumpur, Yayasan SALAM bergerak secara aktif membantu dan memberikan perlindungan kepada golongan wanita yang berkrisis, kanak-kanak terbiar, gelandangan dan penagih dadah. Aktiviti mereka disokong dan dibantu oleh tenaga sukarelawan yang berkhidmat secara separuh masa atau sepenuh masa.

Sebelum mengemukakan cadangan dan bentuk sumbangan kepada Yayasan SALAM, Lajnah Kebajikan dan Komuniti Yayasan PERAMAH akan  mengikuti aktiviti yang dijayakan oleh Yayasan SALAM bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran yang mereka hadapi. Aktiviti yang akan disertai ini, selain dapat membantu menyempurnakan fardu kifayah, ia juga membantu mendidik diri dan menanamkan rasa keinsafan kepada Sahabat PERAMAH yang terlibat.

Sahabat PERAMAH yang berminat untuk menyertai program outreach dan dakwah dengan Yayasan SALAM ini, bolehlah berhubung dengan Sukarelawan PERAMAH (SUP). Perkembangan mengenai program ini juga akan dimaklumkan dari semasa ke semasa di https://yayasanperamah.org.

Di YAYASAN PERAMAH, Ukhuwah Dibina, Ilmu Ditimba, Kebajikan Dicakna.