Penubuhan Yayasan Perantau Maahad Muhammadi atau ringkasnya Yayasan PERAMAH telah dicetuskan oleh beberapa bekas pelajar Sekolah Menengah Maahad Muhammadi Kota Bharu (MMKB) yang menetap di Lembah Klang pada awal tahun 2013. Kesedaran untuk menubuhkan Yayasan PERAMAH ini berpunca daripada usaha untuk menyatukan bekas pelajar MMKB sama ada lelaki ataupun perempuan tanpa mengira peringkat usia dan latar belakang kerjaya.
Yayasan PERAMAH yang telah ditubuhkan pada 22 Mac 2013 dianggotai oleh barisan ahli Lembaga Pemegang Amanah yang terdiri daripada Prof. Dr. Ashraf bin Md Hashim, Mejar Haji Mohd Abdul Wahab bin Abdullah, Dr. Siti Zubaidah bt Ismail, Dr. Nik Mohd Zaim bin Ab Rahim, Sdr. Abdul Aziz Mohamed dan Ustaz Hasanul Basri Abdullah. Lembaga Pengarahnya pula dianggotai oleh Mejar Haji Mohd Abdul Wahab bin Abdullah, Tuan Haji Abdul Hakimee bin Abdullah, Puan Hajah Sakinah bt Salleh, Puan Ramlah bt Hamad, Tuan Haji Mohd Edrus dan Sdr. Yusran bin Omar. Manakala Sdr. Abdul Aziz bin Mohamed dilantik sebagai setiausaha kepada Lembaga Pemegang Amanah dan Lembaga Pengarah Yayasan PERAMAH.
Sebelum Yayasan PERAMAH ditubuhkan, bekas pelajar MMKB bergerak dan beraktiviti secara “ad hoc” dan tidak tersusun di bawah perkumpulan tidak rasmi yang dikenali sebagai Perantau Maahad Muhammadi (PERAMAH). Banyak aktiviti sosial dan kebajikan yang melibatkan bekas pelajar MMKB terutamanya yang berpusat di Lembah Kelang telah dianjurkan oleh PERAMAH. Memandangkan sambutan yang diberikan oleh bekas pelajar MMKB terhadap aktiviti-aktiviti PERAMAH begitu memberangsangkan, maka timbul keperluan untuk mewujudkan sebuah badan yang sah bagi meneruskan aktiviti-aktiviti tersebut dengan lebih terancang dan memberi kesan yang lebih bermakna. Dari situ tercetuslah idea untuk memperbadankan Yayasan PERAMAH.
Dengan tema ‘Ukhuwah Dibina, ilmu Ditimba, Kebajikan Dicakna’, Yayasan PERAMAH bergerak di atas landasan yang betul untuk melihat bekas-bekas pelajar MMKB bersatu melebarkan khidmat bakti kepada sesama bekas pelajar, bekas tenaga pengajar MMKB, MMKB itu sendiri dan juga masyarakat umum keseluruhannya.